Monday, November 24, 2008

Mekanisme urus harga minyak minggu depan



Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan bermesyuarat Isnin depan untuk memutuskan satu mekanisme yang lebih stabil dan boleh laksana dalam menentukan harga petrol, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata majlis itu akan membincangkan sama ada untuk menyediakan satu harga terendah atau menetapkan satu sistem apungan terurus, berikutan harga minyak mentah dunia menurun secara perlahan-lahan yang kini jatuh pada AS$50 setong.

“Ini satu keadaan yang tak pernah dijangka, harga minyak mentah turun begitu hebat. Kita akan berbincang mengenai apa hala tuju yang akan diambil.

Adakah kita nak satu kaedah harga lantai atau terus dengan keadaan sekarang, yang mana bila turun, kita turun.

“Kalau letak harga lantai, apakah parasnya, serendah mana atau guna sistem pengapungan secara terurus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Persidangan Ketua Pejabat Hartanah Intelektual Asean di sini hari ini.

Kini harga itu diselaraskan pada setiap dua minggu berdasarkan kepada harga pasaran. Harga pam petrol kini berharga RM2 seliter sementara diesel ialah RM1.90 seliter.

Beliau berkata majlis itu akan mengkaji kebaikan dan keburukan setiap mekanisme itu, dalam aspek yang memanfaatkan bagi keseluruhan, sumbangan kepada semua secara keseluruhan, sumbangan kepada sumber kewangan negara dan mengenai impak membangunkan sumber tenaga alternatif.

“Pada harga sekarang, kerajaan ada sumber kewangan. Kalau kita adakan harga lantai dan harga minyak turun, perbezaannya akan masuk ke dana kerajaan, bukan syarikat minyak, bukan stesen minyak,” katanya.

Mengenai perkembangan lain, Shahrir berkata Rang Undang-undang Perdagangan Saksama, yang kini sedang dirangka dan pada peringkat akhir, akan dibentangkan di Parlimen Jun depan.

Katanya akta itu menggalakkan amalan perniagaan beretika dan sihat di samping menggantikan rejim kawalan harga yang kini digunakan.

Menurutnya akta itu akan juga bertindak terhadap mereka yang mengaut perniagaan monopolistik dan kartel, dan penggerak yang bersekongkol untuk menetapkan harga. - Bernama

*** Semalam Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahrir Samad berkata, harga minyak mungkin akan turun 15 sen lagi menjelang akhir bulan ini berikutan dengan penurunan harga minyak dunia.Bagi aku bila bab turun ni macam macam alasan dicari untuk mengekangnya tapi masa nak naik sanggup berdebat..masa minyak turun, turunkanlah harganya..adoiii tu pun susah sgt!

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online