Friday, March 6, 2009

PRIORITI AHLI PARLIMEN & ADUN

Reuters melaporkan Flextronics International telah memaklumkan kepada Kementerian Sumber Manusia bahawa ia akan memberhentikan seramai 1,382 pekerja di kilangnya di Shah Alam. Ini berikutan kemerosotan permintaan untuk produk teknologi yang dikeluarkan oleh syarikat itu akibatkan kegawatan ekonomi global. Bloomberg melaporkan bahawa eksport negara merosot ke tahap paling rendah dalam tempoh 15 tahun.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Dato' Ismail Abdul Rahim pula dilaporkan berkata seramai 22,887 orang telah dibuang kerja dalam tempoh lima bulan lepas. Penganalisis ekonomi meramalkan kadar pengangguran akan meningkat sehingga 4.5% pada tahun ini.

Sementara itu, The Edge Daily mengatakan bahawa kalau sewaktu krisis ekonomi pada tahun 1997 dulu hanya sektor korporat yang merasai kesannya, sekarang rakyat yang akan menjadi mangsa.

Saya pernah menganggur selama enam bulan selepas krisis ekonomi tahun 1997 dan saya cukup faham derita orang yang dibuang kerja (gunakanlah istilah apa sekali pun untuk sedap didengar -- penganggur tetap penganggur, buang kerja tetap dibuang kerja).

Persoalannya ialah apakah yang harus dilakukan bagi menentukan krisis ekonomi global yang sedang berlaku sekarang tidak memberikan kesan yang terlalu besar kepada rakyat negara ini?

Sehingga sekarang saya belum mendengar Ahli-ahli Parlimen atau Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri kita bersungguh-sungguh bercakap mengenai perkara ini.

Atau, mungkin orang politik kita sekarang ada isu lain yang perlu ditangani berbanding dengan isu semakin ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan?

Atau, adakah mereka juga seperti sesetengah rakyat negara ini sudah kehilangan arah dan prioriti perjuangan?

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online