Bulan Ramadan yang penuh keberkatan telahpun secara rasmi memasuki fasa separuh keduanya.
Kalau dalam perlawanan bola sepak, separuh masa kedua adalah kesempatan terbaik bagi memperbaiki kelemahan semasa separuh masa pertama.
Jika gawang dibolosi beberapa kali semasa separuh masa pertama, maka kesempatan di separuh masa kedua perlu digunakan semaksima mungkin untuk memperbaiki kelemahan, memperbetulkan strategi dan mempertajamkan jentera serangan dengan harapan dapat beroleh kemengangan di akhir perlawanan.
Jika menang akan diberi mata kemenangan, jika tewas hanya penat dan lelah yang diperolehi tanpa sebarang mata. Begitulah juga halnya dengan Ramadan yang telah kita harungi sehingga ke separuh kedua ini.
Alhamdulillah, kebanyakan kita masih mengekalkan momentum ibadah sebagaimana di permulaan Ramadan.
Masjid dan surau masih lagi dapat bertahan dengan jumlah jemaah yang ramai ketika Solat Tarawih walaupun tidak seramai ketika di permulaan Ramadan. Namun, lagu-lagu raya yang semakin galak dikumandangkan akhir-akhir ini begitu mengganggu konsentrasi kita untuk beribadah.
Lagu-lagu raya yang begitu awal dimainkan ini seolah-olah tidak sabar-sabar ingin menerima kehadiran Aidil Fitri dan dalam masa yang sama kita tidak sedar ia juga seolah-olahnya menyuruh Ramadan 'berlalu secepat mungkin' agar dapat segera berhari raya.
Antara adat dan syariat
Begitulah suasananya Ramadan di tempat kita. Bila sampainya Ramadan, selain ibadah puasa, sahur dan tarawih, ia juga sinonim dengan bazar ramadan, murtabak, moreh dan sebagainya.
Ibadah puasa Ramadan juga begitu unik berbanding ibadah-ibadah lain. Ada orang yang solat berpuasa, orang yang tak bersolat juga berpuasa. Orang yang menutup aurat berpuasa, orang yang berpakaian seksi juga berpuasa.
Orang tua berpuasa, anak-anak kecil juga berpuasa. Bahkan jika ditanya kepada mak nyah di lorong-lorong di kota besar Kuala Lumpur itupun, pasti mereka akan katakan mereka berpuasa.
Bila waktu malam, mereka akan memendekkan 'waktu operasi' mereka bagi memudahkan mereka bangun awal untuk bersahur dan berpuasa. Para artis pula mengambil kesempatan sempena Ramadan untuk 'berehat' dari aktiviti-aktiviti seni bagi menumpukan kepada ibadah dan aktiviti-aktiviti amal.
Begitulah ragamnya masyarakat kita menyambut Ramadan dengan cara tersendiri yang bersandarkan kepada kefahaman masing-masing terhadap falsafah di sebalik Ramadan.
Walauapapun cara kita menerima kehadiran Ramadan, suatu yang semua perlu faham ialah natijah dan tujuan berpuasa ialah untuk meraih taqwa. Jika sinar ketaqwaan itu tidak terzahir daripada tingkahlaku kita, maka ada suatu yang tidak kena dengan puasa yang kita lakukan.
Taqwa sebagai matlamat puasa
Perkataan taqwa, meskipun didengar saban waktu - sekurang-kurangnya empat kali seminggu iaitu ketika mendengar khutbah Jumaat - namun masih ramai yang tidak memahami akan maksud dan falsafahnya.
Buktinya, tindak-tanduk umat Islam kadang-kala tidak menggambarkan mereka faham akan maksud taqwa tersebut. Lalu apakah maksud taqwa itu sebenarnya?
Imam Ali bin Abi Talib mendefinisikan taqwa sebagai 'meninggalkan perbuatan maksiat, dan tidak tergoda dengan rasa sudah baik mengerjakan ketaatan'. Beliau juga membahagikan ciri-ciri taqwa kepada empat iaitu; Al-Khauf minal Jalil (Takut kepada Allah yang Maha Agung), Al-Amal bit Tanzil (Beramal apa yang Allah turunkan dalam Al-Quran), Ar-Ridha bil Qalili (Rasa cukup dengan sedikit yang kita ada) dan Al-Ist'dad ila yaumirrahiil (bersedia menghadapi hari keberangkatan/kematian).
Imam Syafie pula berkata, kamu boleh lihat diri kamu berada di puncak ketakwaan apabila berlaku perkara berikut: Al-Juud minal Qalil (Kamu bersedekah walaupun duit yang kamu ada tinggal sedikit), Al-War'u 'Indal Khalwah (Kamu bersikap wara' ketika kamu berseorangan) dan An-Takuna kalimata Haqqin Inda Ma Yukhafu wa Yurja' (Kamu dapat katakan kebenaran di hadapan orang yang kamu takuti dan kamu harapkan sesuatu daripadanya).
Seterusnya Al-Hasan mendefinisikan taqwa sebagai 'menjaga diri daripada yang diharamkan dan menunaikan yang diwajibkan.' Ibn Kathir pula manyatakan taqwa berasal daripada perkataan tawaqqi, iaitu menjaga diri daripada perkara yang tidak diingini manakala Ibn Abbas menggambarkan orang yang bertaqwa ialah mereka yang takut dalam keadaan berwaspada daripada balasan Allah dengan meninggalkan dorongan nafsu, dan mengharapkan rahmat Allah dengan percaya terhadap perkara yang datang daripada-Nya.
Begitulah pandangan-pandangan ulama yang sedikit sebanyak dapat menjernihkan lagi kefahaman kita terhadap maksud taqwa. Jika taqwa difahami, maka kita pastinya faham arah tuju puasa yang kita laksanakan.
Jika puasa dan ibadah Ramadan yang kita laksanakan tidak berjaya membawa ciri-ciri taqwa ke dalam diri, maka pasti ada suatu yang tidak kena atau kecacatan dengan puasa yang kita laksanakan.
Pokok pangkalnya, setiap tingkahlaku yang dilakukan di atas mukabumi ini perlu berlandaskan 'ilmu'. Jika seorang penjenayah pun menggunakan ilmu dan berstrategi dalam melakukan jenayah mereka, apatah lagi apabila kita ingin melakukan ibadah kepada Allah, pasti ia perlu bersandarkan ilmu dan kefahaman yang jelas, bukan kerana ikut-ikutan.
azan islam call to prayer Orang solat, kita pun solat, orang puasa kita pun berpuasa. Bila ditanya falsafah puasa dan kenapa kita perlu berpuasa ada juga yang tidak tahu.
Islam agama ilmu
Sesungguhnya Islam adalah agama yang berdiri di atas prinsip 'ilmu dan 'kefahaman' yang jelas berteraskan dalil dan hujjah, bukan ikut-ikutan atau warisan nenek-moyang semata-mata.
Bahkan ayat pertama diturunkan di dalam Al-Quran ialah berkaitan ilmu iaitu ayat 'Bacalah' (Iqra') di dalam Surah Al-'Alaq. Sepanjang pengamatan saya, lantaran tiadanya ilmu dan asas yang jelas tentang syariat Islam, maka terjadilah perkara-perkara seperti ramainya umat Melayu Islam kita yang sukar membezakan perkara syariat dan adat.
Natijahnya, tindak tanduk kita kadangkala tidak mencerminkan syariat Islam, tetapi lebih kepada adat yang telah kita anggap seperti syariat, malah ada kalanya, jika salah i'tiqad, adat tersebut boleh menyimpang daripada prinsip syariat yang sebenar.
Contohnya ada yang anggap menanam uri selepas kelahiran itu adalah tuntutan 'syariat', tetapi sebenarnya ia hanyalah adat dan petua nenek moyang. Bahkan akan menjadi khurafat jika kita beri'tiqad ia boleh menjejaskan kesihatan anak-anak dan sebagainya. Itu belum diambil kira amalan khurafat dan mistik yang lain seperti pemujaan dan sebagainya yang sememangnya orang Melayu amat 'pakar' di dalamnya.
azlanSeterusnya, tanpa ilmu yang jelas tentang syariat juga akan menyebabkan kita mengambil sebahagian daripada Al-Quran dan meninggalkan sebahagian yang lainnya. Kita juga kadangkala akan lebih mengutamakan isu furu'(cabang) melebihi isu usul (pokok).
Senario yang berlaku hari ini mungkin boleh mengesahkan perkara ini. Contohnya; kita kisah tentang perlunya meletak atau menggantung ayat Al-Quran, gambar kaabah dan lain-lain di dinding rumah, tetapi kita tidak kisah jika ada penghuni-penghuni rumah dan anak-anak kita yang tidak menghadap qiblat (bersolat).
Perkara pokok di sini ialah solat, sementelah menggantung ayat Al-Quran adalah perkara cabang.
Kita marah/sensitif bila ada bukan Islam masuk/ziarah masjid/surau tetapi kita tak marah/tak sensitif bila ramai Muslim yang tak pernah datang masjid/tak bersolat.
Kita marah bila akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan artikel/gambar babi, tetapi kita tidak rasa apa-apa apabila ada akhbar berbahasa Melayu yang menyiarkan iklan keputusan judi-4D,Toto, Magnum dan sebagainya.
Selain mengharamkan babi, bukankah Al-Quran juga mengharamkan judi, atau kita hanya beriman dengan sebahagian Al-Quran dan meninggalkan yang selainnya?
Kita marah bila ada bukan Islam ingin mendekati Al-Quran, membaca dan memahami tafsirannya, tetapi kita tidak kisahpun bila ramai muslim yang bukan sahaja tidak faham, malah buta Al-Quran.
Apabila menyambut maulidurrasul, kita rasa bersalah atau seolah-olah berdosa jika perarakan tidak dapat dibuat atas masalah tertentu, tetapi kita tidak rasa bersalah bila banyak hadis dan sunnah Baginda yang tidak diamalkan malah diperlekehkan.
Bukan salah perarakan itu, tetapi memperingati Rasulullah itu perlu dilihat dari skop yang lebih besar.
Senario seterusnya, apabila ada pihak yang mengeluarkan arahan (dengan bersandarkan dalil dan nas yang rajih) agar tidak diperdengarkan bacaan al-Quran sebelum laungan azan khususnya di waktu subuh, maka ramai yang menjadi hero dan bangun membantah seolah-olah arahan itu anti-Islam, namun anehnya bilangan yang pergi ke masjid untuk solat subuh masih juga Ssedikit.
Boleh diperiksa di mana-mana masjid dan surau hanya ada beberapa saf sahaja ketika solat subuh. Di manakah hero-hero yang lantang berbicara tadi? Soalnya, jika arahan yang dikeluarkan bersandarkan nas dan dalil, kita yang membantah kerana ilmu atau apa sebenarnya?
Penutup
Nah, begitulah sedikit sebanyak senario ketidahfahaman masyarakat tentang syariat Islam menyebabkan kejahilan di dalam agama terus berterusan. Lebih membimbangkan jika tindakan orang yang jahil terhadap syariat Islam ini akan menjadi fitnah kepada agama suci ini manakala orang alim hanya menjadi 'penonton' apabila orang jahil itu memburukkan imej agama.
Sesudahannya, wajah Islam yang comel dan cantik dipandang dengan jijik oleh masyarakat. Bukan salah Islam itu, tetapi salah umat Islam yang tidak memahami agama mereka. Amat menyedihkan juga apabila ada sesetengah pihak yang suka jika ramai yang jahil tentang agama kerana kejahilan itu akan mudah dimanipulasi untuk kepentingan tertentu.
Justeru, bagi mengelakkan diri kita daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak, ilmu-ilmu tentang syariat Islam perlu dipertingkatkan agar amal ibadah yang kita laksanakan adalah bersandarkan ilmu dan diterima Allah hendaknya.
Bukanlah maksudnya kita perlu meningkatkan ilmu Islam sehingga ke peringkat PhD, tetapi memadailah kita faham perkara-perkara asas di dalam Islam. Yang paling penting keberadaan kita di dalam Islam ini juga perlu bersandarkan ilmu dan kesedaran yang jelas bukan kerana faktor 'genetik' atau warisan keluarga.
Ramadan yang berbaki separuh bulan haruslah dimanfaatkan semaksimum mungkin bagi menampung kelompangan dan kekurangan di dalam amal ibadah kita. Mudah-mudahan amal ibadah kita yang berdasarkan ilmu dan kefahaman akan syariat akhirnya Insya Allah akan menghadirkan taqwa.
Kita juga mohon agar dijauhkan puasa kita daripada puasa adat berteraskan taqlid buta yang tidak akan memberikan apa-apa melainkan lapar dahaga.malaysiakini
Thursday, August 18, 2011
Kemulian Ramadhan
Posted by fuadhashim at 8:26 AM 0 comments
Tuesday, August 16, 2011
Sidang Dun Perak - 2H/2Hr
Kerajaan Barisan Nasional telah menghina dan mempersendakan sidang Dewan Undangan Negeri Perak semalam dengan hanya memperuntukkan dua jam sahaja untuk bersidang.
Timbalan Pengerusi DAP Perak V. Sivakumar berkata ia adalah satu sejarah yang memalukan di negeri itu kerana niatnya sekadar memenuhi syarat birokrasi, iaitu perlu diadakan sidang dalam tempoh enam bulan.
“Dalam ucapan Yang Dipertua DUN, Datuk R. Ganesan menyebut bahawa sidang DUN kali ini diadakan semata-mata untuk memenuhi syarat tempoh enam bulan di antara mesyuarat-mesyuarat Dewan.
“Beliau seharusnya berasa malu menbuat kenyataan seperti itu seolah-olah kerajaan BN tidak berminat untuk membincangkan masalah rakyat,” katanya.
Sivakumar yang juga Adun Tronoh mengakui memang terdapat syarat enam bulan itu tetapi ia mendedahkan hipokrasi BN kerana takut untuk membincangkan isu-isu kepentingan rakyat di Perak.
“Undang-undang Tubuh Negeri Perak mahu memastikan bahawa sekurang-kurangnya Dewan Negeri bersidang dalam enam bulan supaya masalah rakyat boleh dibincangkan secara panjang lebar.
“Tetapi, Menteri Besar (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) dan pimpinan BN telah memanipulasi undang-undang itu hanya sekadar memenuhi syarat. Adakah kerajaan BN mengatakan bahawa di negeri Perak tidak ada masalah langsung untuk diketengahkan dalam Dewan yang mulia itu?” katanya.
Beliau menambah, tindakan BN jelas menggambarkan golongan pengecut yang tidak berani menghadapi wakil-wakil dari Pakatan Rakyat yang hendak membawa masalah rakyat ke forum tertinggi itu.
Menurutnya, BN mencari helah untuk melarikan diri daripada tanggungjawab selepas merampas kuasa kerajaan negeri daripada Pakatan secara tidak sah pada 2009.
“Apa guna kita ada pilihan raya dan wakil rakyat jika persidangan Dewan Negeri hanya diadakan untuk setengah hari sahaja? Sekali lagi kerajaan BN telah mencemarkan demokrasi di Perak,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Besar Perak yang dipilih oleh rakyat dalam PRU 2008, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin hari ini telah membuat laporan polis di sini terhadap kenyataan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, yang memberi amaran kepada wakil-wakil rakyat Pakatan di Perak.
Amaran Zakaria disiarkan dalam akhbar Sinar Harian di bawah tajuk “Jaga adab” di mana Zakaria dipetik sebagai berkata, “saya harap ahli-ahli Dewan menjaga tingkah laku ketika membentangkan suara rakyat. Sekiranya berlaku provokasi, kita akan atasi sebaik mungkin”.
Menurut Nizar, kenyataan Zakaria melanggar serta bertentangan dengan Kanun Keseksaan (Akta 574) perkara 124 kerana bersifat melampau dan keterlaluan.
“Sekaligus Zakaria mengenepikan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak (Perlembagaan Perak), Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Tetap DUN yang mana saya dan semua ADUN telah mengangkat sumpah memelihara dan mendukungnya.
“Sebagai wakil rakyat dan ahli dewan, saya juga tertakluk kepada semua perkara yang terkandung di dalam Peraturan Tetap Dewan bagi mentadbir perjalanan mesyuarat termasuk adab, tatasusila, peraturan persidangan dewan serta tingkah laku kami,” katanya.
Beliau yang juga Adun Pasir Panjang berkata kenyataan Zakaria mengesahkan bahawa sejak rampasan kuasa oleh UMNO-BN pada bulan Februari 2009, kesemua persidangan DUN Perak telah dicerobohi oleh polis dengan kehadiran begitu ramai anggota serta kenderaan polis.
Nizar turut mengingatkan bahawa polis telah masuk dan menceroboh DUN Perak pada 7 Mei 2009 sewaktu Sivakumar, selaku Speaker Dewan pada waktu itu, sedang mengendalikan persidangan.
Menurutnya, Sivakumar telah diheret dan diangkat serta digulingkan oleh anggota polis dan beliau telah dikunci selama satu jam di bilik belakang Dewan sementara Adun-Adun Pakatan Rakyat dikasari oleh polis di dalam Dewan.
“Semua ini ditonton oleh media, rakyat, Orang-orang Besar Negeri, pengarah-pengarah kerajaan negeri dan Persekutuan. Siapa yang sebenarnya biadap bila Datuk Zakaria menyuruh kami “Jaga adab”?
“Kenyataan (Zakaria) ini juga menimbulkan keluh-kesah dan berupa ugutan serta pencerobohan terhadap bidang kuasa kami sebagai wakil rakyat,” tambahnya.
Beliau menggesa Zakaria supaya menarik balik kenyataanya dan memohon maaf kepada rakyat dalam tempoh bulan Ramadzan ini serta menasihatkan beliau berhenti menjadi perkakas UMNO-BN.
Posted by fuadhashim at 8:57 PM 0 comments
Sunday, July 10, 2011
Bersih 2.0 - Semangat Demokrasi Yang Adil
SEMPURNA sudah Perhimpunan Bersih 2.0 hari ini dengan kejayaan paling gemilang. Meskipun diugut, diancam malahan terlebih awal lagi beberapa tangkapan telah dilakukan oleh rejim namun Perhimpunan BERSIH berjaya menembusi kubu yang dikatakan paling kukuh dan berstrategi oleh PDRM itu.
Lebih 50,000 berada di tengah Ibu Kota petang tadi berjaya menggagalkan sekatan setiap penjuru alam. Jumlah itu tidak termasuk beribu-ribu lagi yang terkandas di pertengahan jalan menuju ke K.Lumpur akibat sekatan jalanraya di lebuh-lebuh raya samada dari Utara, Timur dan Selatan yang bermula awal pagi semalam lagi.
Apabila melihat sendiri suasana kehadiran ramai pejuang-pejuang BERSIH yang langsung tidak menghiraukan amaran mengarut oleh KPN malam tadi, saya tertanya-tanya di mana PERKASA dan Ibrahim Ali? Difahamkan kumpulan mereka sekitar 20 orang sedang enak menjamu selera di sebuah restoren sambil menonton TV yang melaporkan keadaan semasa di lokasi perhimpunan. Di mana pula Omar Din, Guru Silat Lincah beserta anak-anak buahnya yang sebelum ini menyalak setiap malam di kaca TV kununnya ingin berada di barisan hadapan menentang kemaraan BERSIH?
Biar saya realistik dan tidak `double standard.' Satu pujian harus diberikan kepada kumpulan `Patriot' di bawah Ketua Pemuda Umno, KJ yang berani merealisasikan perhimpunan secara aman ini. Meskipun kumpulan beliau hanya sekitar 300 orang berbaju merah, namun setidak-tidaknya mereka lebih `jantan' dari PERKASA dan kumpulan Omar Din. BERSIH tidak bertempur pun dengan Patriot kerana masing-masing tahu erti yang terkandung di dalam Perlembagaan berkaitan hak berhimpun secara aman.
Timbul pertanyaan setelah semuanya selesai sebentar tadi, iaitu mana dia parang, senjata merbahaya atau `molotov coktail'? Mana dia pemimpin yang berjiwa `komunis' yang ingin merampas kuasa? Berapa bijikah bangunan atau kereta yang dibakar? Bayangkan jika di dalam keadaan perhimpunan tersebut diprovokasi oleh pihak Polis dan FRU, tiada apa pun yang berlaku seperti yang dikatakan tadi, adakah jika perhimpunan ini dibenarkan secara aman di Stadium Merdeka akan berlaku kejadian-kejadian tersebut?
Akhirnya, marilah kita berfikir secara bijak adakah kita perlu lagi kepada kerajaan zalim seperti ini? Bertuahnya kita di dalam PR kerana mempunyai pemimpin seperti DS Anwar, Tuan Guru Hj Hadi, Lim Kit Siang, Mat Sabu, Tian Chua dan ramai lagi yang sanggup merasa sakit dan susah bersama kita. Di mana Najib dan Rosmah juga Muhyiddin? Mereka hilang dan meninggalkan pihak Polis untuk bertempur dengan rakyat. Di saat DS Anwar terbaring di Hospital akibat ditumbuk bersama Pengawal Peribadinya, ketika Tuan Guru Hj Hadi ditahan dan digari mungkin ketua rejim bersama isterinya kini bersuka ria di luar negara.
Syabas BERSIH, syabas rakyat dan syabas Patriot. Takziah buat Perkasa, Omar Din dan anak-anak buahnya serta PDRM. Masa akan tiba rejim pasti tumbang./wfauzdin.blogspot.com
Posted by fuadhashim at 12:19 AM 0 comments
Sunday, June 26, 2011
Tuesday, June 21, 2011
Perbelanjaan Terlampau Kabinet 1M

WarkahDaily – Negara kaya mana di dunia yang berbelanja semewah negara pimpinan Najib Razak yang dilaporkan telah memperuntukkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM13.2 bilion walaupun kerajaan baru sahaja membentangkan belanjawan asal RM162.8 bilion yang baru sahaja diguna dalam masa tiga bulan.
Kenapa perlu kepada perbelanjaan tambahan RM13.2 bilion sedangkan kerajaan baru sahaja membentang belanjawan sebanyak RM162.8 bilion
Kabinet 1Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semakin tenat kerana Sindrom Membazir, Menyalahguna Kuasa dan Celupar sehingga membuatkan rakyat Malaysia menjadi batu asah pisau belati untuk memudahkan rakyat menyembelih BN pada pilihanraya umum akan datang. Keceluparan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Rais Yatim mencabar ‘Blogger’ berperang menyebabkan lebih 198 laman web tempatan, termasuk portal rasmi kerajaan diserang para penggodam.
Bukan sedikit belanja yang dikeluarkan untuk menyediakan pertahanan dan memperbaiki laman web yang digodam, tidak termasuk kerugian akibat kehilangan pelanggan atau pelancong. Siapa yang mahu bertanggung jawab? Serangan pertama para penggodam ini hanya olok-olok untuk menguji ketahanan sistem multimedia dan ICT kerajaan.
Bagaimana jika dibuat dalam skala yang besar dan dengan kerjasama penggodam bertaraf dunia? Selain Rais, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz juga mungkin menyebabkan Malaysia kehilangan pelaburan bernilai RM5 Billion di Sudan hanya kerana membuat kenyataan liar membantah kehadiran pemimpin Sudah di Dialog Antarabangsa Langkawi (LID).
Sekalipun Nazri dikhabarkan meminta maaf secara terbuka kepada Kabinet Malaysia, namun sudah terlewat kerana Sudan sudah menarik diri daripada LID dan Petronas bakal kehilangan kontrak mencarigali di Sudan yang sudah ditawarkan sebelum ini, kerana dikhuatiri kontrak berkenaan ditawarkan kepada Negara China.
Manakala Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pula menyalahguna kuasa melantik Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yusof Mahal sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan.
Nong Chik tahu bahawa Yusof mempunyai kepentingan peribadi kerana beliau berhutang RM4 juta dengan Perbadanan Labuan dan RM8 juta daripada Sabah Development Bank serta mempunyai rekod buruk apabila syarikat miliknya, Labindo Engineering Sdn.Bhd dan syarikat anaknya, Utara Kita Sdn.Bhd gagal menyiapkan dua projek penting di Labuan.
Begitu juga dengan Menteri Pelancongan, Datuk Ng Yen Yen yang berbangga dan tidak merasa bersalah membelanjakan lebih RM250,000 daripada peruntukan asal RM1.8 juta untuk membina laman Facebook bagi mempromosi pelancongan; sedangkan Facebook boleh didapati secara PERCUMA!
Tidak dinafikan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal paling banyak menimbulkan masalah di Sabah kerana menganggap wang kerajaan sebagai wangnya dengan memfaraidkan semua peruntukan pembangunan sesama kroninya melalui kontrak runding terus dengan kos yang berlipat kali ganda.
Rakyat Sabah marah kerana Shafie gagal memastikan projek NKRA mencapai matlamat di Sabah, terutama meningkatkan prasarana seperti menaiktaraf Jalanraya, bekalan elektrik, bekalan air di luar bandar. Manakala Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Johnity Ongkily; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Unggah Embas; dan kesemua menteri kabinet lain, termasuk Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai pelbagai penyakit tenat termasuk isu GSTT, pencemaran alam sekitar, plagiarism hak cipta, penggunaan bateri asid plumbum yang berbahaya dan isu PATI yang semakin berleluasa.
Sebagai pembayar cukai dan pemilih berdaftar, saya sudah letih dan bosan menegur kerajaan terutama menteri Kabinet, tetapi ternyata mereka sudah rosak akhlak dan tidak pandai malu menghadapi pengundi setiap kali pilihanraya berlaku, apatah lagi pengundi disodorkan dengan calon yang setaraf dengan ‘pencacai najis’ di zaman P Ramlee yang membidas Alif Mim Nun Wau sebagai SARKAS!/Sabahkini
Posted by fuadhashim at 1:52 PM 0 comments
Sunday, June 19, 2011
Selamat Hari Bapa
Jika ada nilai baik darinya ambillah dan jika terdapat nilai yang merosakkan, jadikanlah sempadan dalam melayari bahtera kehidupan...
Posted by fuadhashim at 8:34 PM 0 comments
Elakan Mengadap Komputer lebih 5 Jam Sehari..Kenapa?
Sebuah portal menyiarkan dapatan kajian yang mendakwa seseorang yang menghabiskan waktu lebih daripada 5 jam sehari di depan komputer akan menhgadapi masalah jantung dan menyebabkan mereka mati lebih awal. Punca utamanyanya ialah posisi duduk, terutamanya duduk bersandar, yang merupakan posisi umum ketika seseorang sedang bekerja menghadap komputer, bermain permainan video/komputer, ataupun ketika menonton televisyen.
Kajian tersebut dijalankan oleh Emmanuel Stamatakis dari University College London, Britain. Beliau melakukan penelitian terhadap lebih daripada 4.500 orang respondan yang berusia 35 tahun ke atas dan hasilnya diterbitkankan di Journal of the American College of Cardiology. Kajian ini menambah bukti-bukti yang terus terkumpul berkaitan risiko dan bahaya duduk dalam jangka masa yang lama.
“Orang yang menghabiskan waktu lebih daripada 4 jam berturut-turut sehari di depan komputer/televisyen memiliki peluang 125 peratus lebih tinggi mati akibat penyakit jantung berbanding dengan mereka yang hanya menghabiskan waktu kurang daripada 2 jam di depan komputer/televisyen,” kata Stamatakis, seperti yang disiarkan dalam Examiner, 20 April 2011.
Kajian juga mendapati posisi duduk menyebabkan penurunan 90 peratus lipoprotein lipase dan enzim jantung yang sihat. Pembengkakan dan masalah metabolisme yang disebabkan oleh ketidakatifan dalam waktu panjang juga menjadi sumber permasalahan.
Antara solusi yang dicadangkan bagi mereka yang terpaksa bekerja di depan komputer sepanjang hari, “Anda harus bangun setiap 20 minit dan berjalan kaki sejenak. Pergerakan itu akan mengurangkan masalah-masalah yang timbul daripada duduk yang lama dan mungkin akan meningkatkan peluang anda untuk hidup lebih lama” kata Stamatakis.
Posted by fuadhashim at 9:37 AM 0 comments


